Isnin, 24 Januari 2011

Penduduk Pangsapuri Subang Impian mahu pengurusan JMB lebih telus

TANPA kertas minit mesyuarat tahun lalu untuk disahkan, Mesyuarat Agung JMB Pangsapuri Subang Impian 2011 menjadi pertikaian kalangan penduduk yang rata-rata menyifatkan perjalanan mesyuarat tidak sah dan melanggar peraturan mesyuarat agung.

Seramai 87 penduduk melahirkan kekecewaan dengan perjalanan mesyuarat ini ditangguhkan serta-merta ekoran kewibawaan agenda mesyuarat yang kurang relevan dengan hasrat penduduk. Selain itu penduduk juga mahu pengurusan JMB lebih telus dan ikhlas di dalam menangani pelbagai isu berbangkit agar tidak dipertikaikan oleh mana-amana pihak lagi.

Selain isu kewangan yang tidak diaudit dan tidak dipamirkan kepada penduduk, anggaran perbelanjaan bagi tahun 2010 juga amat diragui dengan kos yang digunakan bagi membiayai kerja-kerja baikpulih seperti Langkap Taman (RM1,200.00), Baiki Lampu Jalan (RM3,000.00), Parking Motor (RM6,500.00), Grill Taska (RM850.00) dan sebagainya.

Termasuklah kos bagi pengurusan pejabat dan gaji kakitangan, mengurus dewan komuniti, sewaan Taska dan kedai bangunan tidak disenarai atau diumumkan di dalam anggaran perbelanjaan 2010.

Namun isu kegagalan pemasangan meter air individu oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak dapat diteruskan. Lebih mengejutkan pengumuman pembatalan projek ini hanya diumumkan di dalam mesyuarat agung.

Apatah lagi sesudah hampir dua tahun dirancangkan akhirnya tidak menjadi kenyataan mengundang polemik hangat kepada penduduk yang kesal dengan situasi ini.

Menurut pengurusan JMB hampir 80% penduduk sudah menjelaskan bayaran pemasangan meter individu sebanyak RM130.00 namun ia tidak dijayakan kerana pengurusan JMB mendakwa masih ada penduduk yang tidak memberi kerjasama melunaskan bayaran yang ditetapkan oleh Syabas.

Akibat kegagalan ini, Syabas menunda pemasangan meter individu kerana tidak mahu menanggung kos. Oleh itu pengurusan JMB mengambil langkah meminta penduduk membuat keputusan untuk mendapatkan semula bayaran yang dibuat atau sebaliknya.

Kesan dari situasi ini, pengurusan JMB terpaksa mengambil langkah mengejutkan penduduk apabila mengumumkan kadar bayaran air dinaikan antara RM1.30 sen dan RM1.40 sen bagi satu meter padu! Kenaikan ini di anggap mahal dan tidak relevan memandangkan pada tahun lalu kadar harga air baru sahaja dinaikan 20 sen!

Dalam erti kata lain, penduduk perlu menerima keputusan (sudahpun dilaksanakan beberapa bulan lalu) yang di buat oleh pengurusan JMB yang tidak mahu lagi bersekongkol mengenai hal air!


Ahad, 23 Januari 2011

Isu Audit Kewangan Hangatkan Mesyuarat Agung JMB Ke-3

KEGAGALAN wakil Zikay Asset iaitu syarikat pemaju perumahan menghadiri Mesyuarat Agung JMB Pangsapuri Subang Impian 2010 Ahad lalu, mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk.

Rata-rata penduduk marah dan menyatakan perasaan kecewa di atas sikap lepas tangan syarikat pemaju perumahan menghadiri mesyuarat ini.

Malah mereka menyifatkan syarikat perumahan tersebut sebagai pengecut dan tidak bertanggung jawab dengan permasalahan yang dihadapi penduduk.

Mesyuarat Agung JMB kali ketiga yang diadakan di Dewan Komuniti Pangsapuri Subang Impian pada 23 Januari lalu berlangsung dengan suasana hambar tetapi panas dengan isu yang berbangkit.

Kehadiran Puan Intan dari Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Shah Alam, meredakan sedikit suasana tegang dengan menjawab pertanyaan penduduk sambil berjanji membantu menyelesaikan masalah berbangkit penduduk.

Puan Intan juga memberi jaminan kepada penduduk berikutan isu audit kewangan JMB Pangsapuri Subang Impian 2009-2010 dapat dibentangkan didalam mesyuarat yang akan diadakan di dalam terdekat ini.

Beliau lalu meminta pengurusan JMV Pangsapuri tidak lengah bagi mengeluarkan notis mengadakan mesyuarat sekali lagi.

Dalam pada itu Puan Intan juga berkata COB tiada kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan atau membatalkan lesen syarikat pemaju perumahan ini disebabkan kegagalan menghadiri mesyuarat.

“Itu diluar bidang kuasa COB. Hanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sahaja yang dapat berbuat demikian. Menteri boleh membatalkan lesen mana-mana syarikat pemaju perumahan yang bermasalah dan menyenaraihitamkan syaraikat tersebut,” kata beliau.

Lebih 87 penduduk hadir berada di dalam mesyuarat agung ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi JBM, Ismail Deraman. Turut berada di pentas mesyuarat ialah Hamdan Dahlan (setiausaha) dan Mohd Asri Ubaidulllah (bendahari) serta lima ahli jawatankuasa daripada semua blok.

Lima ahli jawatankuasa yang hadir, Mustaffa Kalan (Blok A), Kaseh Osman (Blok B), Ezzedin Usir (Blok C), Johari Haron (Blok D) dan Abdul Salam Umbang dari Blok E.




Isnin, 24 Mei 2010

Program Komuniti PPTSI

Pengumuman

Perhatian kepada semua ahli, anda dijemput hadir utk
memeriahkan acara berikut yang dianjurkan oleh Biro Wanita &
Keluarga bersama Biro Keselamatan


Tarikh : 30hb Mei 2010 (Ahad)
Lokasi: Dewan Komuniti Taman Subang Impian, Jalan Zuhal U5

Aturcara program:
09.30 pagi - 10.30 pagi
Ceramah Kanser dari Avail Beauty (wanita sahaja)

10.30 pagi - 12.00 tengah hari
Ceramah Basic First Aids dari PKD Petaling (semua ahli)

10.00 pagi - 02.00 petang
Kempen Derma Darah dari Pusat Darah Negara ( semua ahli )

Orang ramai dijemput hadir.

Isnin, 29 Mac 2010

Syabas Potong Bekalan Air

Syarikat Bekalan Selangor Sdn Bhd (SYABAS ) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air bagi akaun bil air yang tertunggak di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor mulai 1 hingga 15 April ini.

Kawasan di Kuala Lumpur yang terlibat ialah Kampung Pandan, Desa Pandan, Jalan Cochrane, Sri Angsana Hilir, Pandan Jaya, Taman Cempaka, Taman Dagang, Taman Nirwana, Taman Maluri, Taman Cheras Indah, Taman Komersial Pandan Mewah, Taman Mawar, Taman Kencana, Taman Mega, Taman Muda, Taman Melor dan Bukit Permai.

Turut terlibat Taman Pertama, Taman Putra, Taman Bukit Teratai, Taman Saga, Taman Seraya, Taman Shamelin, Taman Miharja, Taman Rajawali, Taman Ikan Emas, Kampung Cheras Baru, Taman Tenaga, Desa Aman, Taman Bukit Pandan, Taman Mutiara, Taman Bahtera, Taman Cheras, Taman Billion, Taman Rakyat, Taman Segar, Alam Jaya, Taman Sunway, Cheras Awana, Taman Mudun, Taman Mulia, Taman Bukit Hijau, Desa Bukit Cahaya, Alam Damai dan Cheras Utama.

Di Selangor, kawasan yang terlibat ialah Kampung Padang Jawa, Kampung Kuantan, Seluruh Shah Alam (Seksyen 2 - Seksyen 34), Putra Height, Bukit Jelutong, Seksyen U8 sehingga U13, Jalan Batu 3 Lama, Taman Intan dan Jalan Bukit Kuda, menurut kenyataan Syabas.

Lain-lain kawasan ialah Tasik Puteri, Kundang, Kuang, seluruh kawasan Rawang, Sungai Choh, Sungai Buaya, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Batang Kali, Hulu Yam Baru dan Lama, Rasa, seluruh Kuala Kubu Bharu, Kerling, Kalumpang, Hulu Bernam, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan, Sungai Dusun, Sungai Selisek dan Felda Soeharto serta Gedangsa.

Kawasan Hulu Langat melibatkan sekitar kawasan Batu 9 ke Batu 14 Hulu Langat; sekitar kawasan Batu 14 ke Batu 18 Hulu Langat, Kampung Sungai Makau, sekitar Kawasan Dusun Tua, Taman Pinggiran Delima, Taman Sri Nanding, Taman Perkasa, Taman Desa Sentosa, Kampung Sungai Lui, Kampung Kuala Perdik, Kampung Sungai Serai, Kampung Baru Cina Batu 9, Taman Levender, Taman Megah Cheras, Taman Tun Perak, Bandar Tun Hussein Onn, Taman Cheras Perdana, Taman Sungai Sering, Taman Rasa Sayang dan Taman Lagenda Mas.

Menurut kenyataan itu lagi kawasan lain yang terlibat dengan operasi itu ialah taman-taman perumahan di Gombak dan Petaling serta kawasan perumahan dan perkampungan di Kuala Selangor.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat pembayaran bil air dengan segera bagi mengelakkan tindakan pemotongan bekalan air dan sekiranya pemotongan telah dilakukan, kos pemotongan dan penyambungan semula sebanyak RM50 akan dikenakan sebelum penyambungan semula bekalan dibuat, tambah kenyataan itu.

Sabtu, 27 Mac 2010

Sihat, cantik apabila sertai kelas tarian senamrobik

DEMI menjaga dan mengekalkan tubuh badan yang cantik serta sihat, ramai dari kalangan suri rumah dan gadis remaja, tidak melepaskan peluang, menyertai kelas tarian senamrobik.

Sejak diadakan kelas ini tiga bulan yang bulan lalu, 25 peserta sudah mendaftar bagi mengikuti kelas ini. Setakad ini, peserta sudah mempelajari tarian yang menggunakan lima lagu popular.

Latihan tarian senamrobik diadakan setiap malam Jumaat dan Sabtu, bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 10 malam di Dewan Komuniti Subang Impian, Jalan Zuhal.

Kelas tarian senamrobik ini, diilhamkan oleh Puan Nisa dan Puan Noraini, ahli jawatankuasa Biro Wanita dan Keluarga, Persatuan Taman Subang Impian, bagi memenuhi aktiviti biro ini sepanjang tahun.

Menurut Puan Nisa, setiap peserta dikenakan bayaran RM12 sebulan dan akan mendapat tunjuk ajar dari guru berpengalaman dalam tarian senamrobik, Cik Eida setiap minggu.

“Tujuan aktiviti ini diadakan adalah mengisi masa terluang suri rumah, wanita dan gadis remaja pada hujung minggu.

“Dengan menyertai kelas ini, peserta bukan sahaja boleh menari mengikuti muzik dengan baik malah dapat mengekalkan tubuh badan yang sihat dan cantik,” kata Puan Nisa, ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Puan Nisa lagi, hujung tahun ini akan diadakan pertandingan tarian senamronik dan setiap peserta yang pernah mengikuti kelas ini berpeluang menyertainya sekaligus diuji kemampuan mereka.

Kelas tarian senamrobik ini sentiasa terbuka kepada sesiapa yang beminat termasuk kalangan peserta lelaki dan juga mereka dari luar kawasan. Kepada yang berminat mengikuti kelas ini, hubungi Puan Nisa, 019-3877293 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Keterangan gambar: Seorang peserta tidak melepaskan peluang bergambar bersama jurulatih tarian, Cik Eida.



keterangan gambar: Peserta yang mengikuti kelas tarian senamrobik bergambar ceria bersama guru tarian.


Selasa, 16 Februari 2010

Info & Program

Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat WP Kuala Lumpur


Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menganjurkan Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Program ini akan diadakan pada 09 Mac 2010 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 8.45 pagi.


Ahli Persatuan dijemput menghadiri dan seterusnya menyaksikan pelancaran kempen ini sekaligus menjadikan satu pertemuan dialog dua hala mengenai kempen latihan kebakaran dan penyelamatan penduduk taman.